Penyakit Dalam Dada : Keraguan dan Sangkaan

Yunus 10:57
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu pelajaran (Al-Qur'an) dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.

Penyakit dalam dada ialah keraguan dan sangkaan (tafsir ibn katsir). Tapi tafsiran ini terlalu luas. Maka sebagai penjelasan, ditumpukan perbincangan perkara berkaitan dengan Allah, walaupun asalnya tidak hanya itu sahaja. Iaitu membersihkan dari perkara kotor dan syirik. Dan lanjutan dari itu, membersihkan dari pengaruh (buruk) dunia dan berharap baik dari Allah serta keyakinan, keimanan.

Dalam Islam ada ilmu tasauf, ilmu menyuci diri. Ianya satu bidang tersendiri. Malangnya, ianya diamal tanpa kefahaman secukupnya lalu, menjadikannya tidak popular dikalangan orang yang belajar sunnah. Ilmu penyucian diri dikuasai golongan tariqat dengan tokok tambah yang pengikutnya  sangka agama.

Tapi dunia barat sekarang, perkara ini termasuk dalam ilmu kejiwaan atau ilmu psikologi dan psiakatry. Tidak popular dikalangan umat Islam kerana ramai setakat percaya cukuplah dengan Islam menyelesaikan masalah kejiwaan. Umat Islam berasa bangga kes bunuh diri amat sedikit dikalangan umat Islam. Kononnya secara automatik Islam akan mengisi kekosongan jiwa. Ramai yang anggap sakit jiwa itu lebih kurang orang gila. Oleh kerana kita tidak gila maka kita tidak terkena apa-apa penyakit kejiwaan.

Jadi ayat al-quran ini menolak fahaman "jika seseorang itu sudah mukmin, sihatlah jiwanya". Ayat ini menegaskan al-quran adalah penyembuh untuk orang mukmin. Maknanya orang mukmin pun boleh terkena pelbagai penyakit (jiwa) yang ada dalam dada.

Supaya orang (dengan yakinnya) tidak rasa rendah diri jika mendapati dirinya terkena penyakit jiwa seperti ini. Dan tidak malu mencari penyembuhnya. Demikian juga ia masih memelihara hubungan sebagai orang mukmin dengan orang yang terkena penyakit ini.

Ayat ini pun sudah menjadi salah satu yang membuang rasa ragu tidak kena tempat atau malu tidak bertempat.

Sesetengah tafsir, menterjemahkan الصدور sebagai hati, walaupun harfiahnya bererti dada. Umumnya orang katakan penyakit jiwa itu penyakit hati. Tiada orang kata penyakit dada. Hati adalah tempat berfikir sepertimana difaham dalam al-quran. Jika pun ada yang ingin tambah, hati pun ada emosi. Penggunaan istilah dada yang lebih luas memberi makna lebih luas dari apa yang dikandung hati. Iaitu suatu yang diluar sedar, walaupun diketahui.

Ini bermakna seseorang secara bersendirian tidak mampu mengerti penyakitnya sendiri. Kesedaran terhadapnya perlu datang dari luar, dari orang lain, dari pergaulan dengan orang. Jika ia sentiasa dalam penafian, tetaplah ia dalam keadaannya.

Adalah kebiasaan orang faham, zikir seperti tasbih, tahmid, takbir.
 سبحان الله والحمد لله والله اكبر
adalah sebahagian dari menyuci hati. Bermaksud: mahasuci Allah, pujian itu untuk Allah dan Allah maha besar. Tetapi ini sebenarnya adalah kesimpulan rengkas sahaja. Al-quran itu sendiri mengandungi maksud menyucikan Allah, pujian untuk Allah dan membesarkan Allah. Dan ianya lebih terperinci.

Mengapa penyakit jiwa tidak diberi perhatian sepertimana penyakit fizikal?

PERTAMA : penyakit jiwa tidak dirasai sakit seperti penyakit fizikal. Penyakit fizikal akan tetap sakit walaupun orang itu bersendirian.

KEDUA  : penyakit jiwa, pada namanya pun sudah  menampakkan ikatan erat dengan jiwanya, peribadinya, perasaannya, maruahnya, kefahamannya, pemikirannya. Apa-apa perbincangan, rawatan semuanya akan menyentuh jiwanya, peribadinya, perasaannya dan seterusnya.

Luqman 31:22
وَمَن يُسْلِمْ وَجْهَهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ ٱسْتَمْسَكَ بِٱلْعُرْوَةِ ٱلْوُثْقَىٰۗ وَإِلَى ٱللَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ
Dan barangsiapa berserah diri kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul (tali) yang kokoh. Hanya kepada Allah kesudahan segala urusan.

Allah menegaskan pendirian yang terpuji untuk orang yang berserah sepenuhnya "wajahnya" kepada Nya dalam berbuat kebaikan. Tidak malu, tidak takut selain Allah, untuk membaiki, merawat diri.

KETIGA : pembawa penyakit fizikal dipertanggungkan kepada makhluk lain. Kita boleh melawan dengan makluk lain itu. Seumpama kuman, virus. Sedangkan penyakit jiwa adalah dirinya sendiri, tidak mungkin orang melawan dirinya sendiri. Antara tanda penyakit jiwa ialah melemparkan masalahnya pada orang lain, zaman lain, tempat lain. Ini tertipu diri sendiri . Walaupun ianya terhadap diri sendiri, kebanyakkan masalah timbul bila berhubung dengan pihak lain.

Ar-Ra'd 13:11
لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٌ مِّنۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِۦ يَحْفَظُونَهُۥ مِنْ أَمْرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا۟ مَا بِأَنفُسِهِمْۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوْمٍ سُوٓءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ
Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Orang lain tidak mampu mengubah, Allah tidak akan mengubah melainkan diri sendiri memulakannya. Hampir saja tidak mahu berubah ke arah kebaikan menjadi tanda Allah inginkan keburukan untuknya.

KEEMPAT : sakit jiwa melibatkan penilaian oleh orang itu sendiri. Oleh kerana masalah yang berlaku apabila berhubung dengan orang lain, ini dinilai masalah orang lain yang dipaksakan atasnya bukan masalahnya. Jadi orang tidak menilai itu adalah sebagai penyakitnya. Tanggapannya, jika tidak ada hubungan, masalah itu tidak timbul.

Empat sebab ini, tak semestinya ini saja, menyebabkan orang kurang memberi perhatian kepada penyakit jiwa, samaada untuk dirinya atau orang lain.

Walaupun manusia punyai kemampuan untuk tidak berhubung dengan manusia lain untuk mengelak "sakit hati", tetapi dia tidak boleh dan tidak mampu mengelak dari berhubung dengan Allah.

Keutamaan paling besar ialah dengan Allah. Pun begitu yang sesama manusia tidak boleh diabaikan.

Aali-Imran 3:112
ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ ٱلذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوٓا۟ إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ ٱلنَّاسِ وَبَآءُو بِغَضَبٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ ٱلْمَسْكَنَةُۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا۟ يَكْفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقْتُلُونَ ٱلْأَنۢبِيَآءَ بِغَيْرِ حَقٍّۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ يَعْتَدُونَ
Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka (berpegang) pada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia. Mereka mendapat murka dari Allah dan (selalu) diliputi kesengsaraan. Yang demikian itu karena mereka mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi, tanpa hak (alasan yang benar). Yang demikian itu karena mereka durhaka dan melampaui batas.

Jika kita baca ayat di atas dalam paradigma orang melabel, tentu kita terhenti setakat memahami itu adalah golongan yahudi, bukan kita. Kalau nak ada kaitan pun, itu untuk yang ikut yahudi atau setara. (Allah nafikan faham label yahudi pada ayat berikutnya).

Tapi kita baca ayat ini dalam bentuk petunjuk untuk yang mahu merawat diri. Bahawa kes sakit jiwa boleh sampai tahap membunuh, lebih dari tahap memulau.

Petanda sakit jiwa dalam ayat ini ialah "mereka diliputi kehinaan". Ini adalah penyakit, mereka rasa terhina yang berpanjangan. Ini adalah salah satu tanda sakit jiwa apabila mereka rasa terhina tidak pada tempatnya. Begitu juga sebaliknya rasa kebesaran bukan pada tempatnya.

Sesuatu yang dirasai seketika-seketika bukanlah penyakit. Tahap penyakit ialah jika berpanjangan hingga "menyakitkan" orang lain dan diri sendiri.

Mungkin yang berfikir ayat ini mereka ditimpa kehinaan kerana tidak berpegang dengan tali Allah dan tali manusia, mana kena mengena dengan penyakit? Kiasnya begini, kalau anda tak jaga kesihatan lepas itu naik kudis. Adakah anda kata kudis itu bukan penyakit? Atau jika berlaku kecuaian orang lain menyebabkan anda terkena kudis adakah kudis itu tidak dikira penyakit?

Memang ada penyakit yang tidak sakit kecuali apabila disentuh. Seperti sakit kulit tertentu. Ianya bukanlah kerana orang lain yang mahu menyakitkan, tetapi kerana ada penyakit. Demikian juga penyakit jiwa. Tetapi ini boleh ditanggapi sebagai orang lain nak berbuat jahat. Walaupun ada kemungkinan orang cuai atau berbuat jahat, penyakit kita tak boleh dihilangkan dengan meniadakan orang lain.

Al-quran adalah penyembuh kepada penyakit yang ada dalam dada manusia. Jika al-quran tidak dimanafaatkan sedemikian, juga tidak dirujuk ilmu kejiwaan, tidak digunakan khidmat psiakatri, umat Islam akan berada  dalam kerugian.

Yunus 10:57
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu pelajaran (Al-Qur'an) dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.

Comments