Lapang Dada

Lapang dada

Thaa Ha 20:25
قَالَ رَبِّ ٱشْرَحْ لِى صَدْرِى 
Dia (Musa) berkata, “Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku,

Biasanya manusia suka keluasan, kelapangan. Kerana itu memberinya ruang dan kebebasan, mengisi apa-apa yang bernilai dan berguna untuknya.

Lapang adalah kekosongan, manusia tidak meminta kekosongan, tetapi perlu kelapangan untuk mengisi sesuatu. Sesuatu, boleh jadi benda yang nampak, atau yang bukan kebendaan.

Apakah kelapangan yang diminta oleh nabi Musa? Lapang dada, tidak bermaksud jasad dada itu sendiri, tetapi lebih kepada jiwa, psokologi atau mental.

Biasanya manusia mahu lapang masa atau ruang. Ia tidak meminta kelapangan, sebaliknya minta perkara-perkara yang memenuhinya.

Maka permintaan lapang dada oleh nabi Musa adalah sejurus selepas Allah memberi tugasan bertemu fir'aun, seorang yang melampaui batas.

Nabi Musa meminta perkara yang dia perlukan untuk tugasan itu. Permintaan untuk dirinya, bukan meminta diapa-apakan fir'aun. Begitulah permintaan Nabi Musa hingga ayat 33.

Cara fikir begini lebih patut. Iaitu fokus membina diri, apa yang boleh kita lakukan bukan fokus kepada orang lain. Contohnya, orang itu tak betullah, tak puas hatilah, tak patutlah. Tidak membantu dirinya menghadapi kenyataan. Memang Allah telah beritahu fir'aun itu melampau, tidak sayugia perkara itu dikembalikan kepada Allah seolah-olah tidak puas hati denganNya.

Kenapa lapang dada? Jawapan mudah ialah kerana ada "sesuatu" yang perlu disimpan, atau ada perkara yang perlu berlegar di situ. Secara abstraknya, ada hati di dalam dada. Dada lebih besar dari hati.

Mari kita lihat sudut falsafahnya. Orang kata: "ilmu dalam dada", tetapi "bercakap dari hati". Janggal, tetapi tidak pelik untuk mengatakan: "ilmu dalam hati". Manakala tiada kata-kata: "bercakap dari dada".

Secara ringkas falsafah ini menggambarkan ada ilmu/pengetahuan yang tidak masuk dalam hati, maka ia tidak menjejaskan hati. Sedangkan hati dianggap tempat berfikir, ertinya ianya tidak menjejaskan pemikiran. Inilah yang dikatakan lapang dada, bila berdepan dengan suatu perkara yang tidak boleh diterima atau salah. Perkara itu diketahui, tetapi tidak menyentuh hati, tidak menggangu kewarasan, tidak mudah marah, malah boleh bertenang dalam apa-apa keadaan. Dalam falsafah ini tidak ada keperluan meluah isi hati perkara yang tidak disukai, kerana semua itu tidak ada dalam hati. Dada yang luas boleh menjadi kawasan penampan kepada hati.
قَالَ رَبِّ ٱشْرَحْ لِى صَدْرِى

Berlapang dada bukan semata-mata untuk menghadapi seteru. Bahkan dalam kehidupan. Mengurangkan beban/tekanan (stress).

Asy-Syarh 94:1,2
أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ 
Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (Muhammad)?
وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ 
dan Kami pun telah menurunkan bebanmu darimu,

Hati manusia perlu kelapangan diluarnya untuk menyimpan perkara yang tidak boleh diterima, tak boleh masuk dalam hati. Samaada kerana belum faham, atau memang salah.

Maryam 19:88, 89
وَقَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱلرَّحْمَٰنُ وَلَدًا 
Dan mereka berkata, “(Allah) Yang Maha Pengasih mempunyai anak.”
لَّقَدْ جِئْتُمْ شَيْـًٔا إِدًّا 
Sungguh, kamu telah membawa sesuatu yang sangat mungkar,

Berikut pula ialah kata-kata fir'aun
An-Nazi'at 79:24
فَقَالَ أَنَا۠ رَبُّكُمُ ٱلْأَعْلَىٰ 
(Seraya) berkata, “Akulah tuhanmu yang paling tinggi.”

Walaupun kenyataan itu mungkar dan salah, ianya difahami, ia tidak menjejaskan kesucian al-quran. Demikianlah kelapangan dada menyimpan perkara yg tidak boleh disimpan dalam hati tanpa mencemarkan atau menggurisnya.

Comments