Hidup Itu Nisbi
Hidup ini nisbi. Nisbah kepada persekitaran. Oleh itu peka dengan persekitaran adalah amat membantu.
Orang kata "pandu laju adalah merbahaya". Laju dan merbahaya adalah dua perkara nisbi. Ia adalah nisbah kepada persekitaran. Ia tiada angka yang tertentu melainkan pertimbangan seseorang dengan persekitarannya.
Orang berjalan-jalan mungkin tidak lebih dari 4 km sejam. Itu belum dikira laju, orang boleh naik turun tangga, berjalan di tempat sempit dan luas atau rata dan tidak rata tanpa perlu ada tanda had laju. Tetapi kemalangan tetap ada walaupun jarang-jarang, walaupun tidak dikira berbahaya. Terlanggar tiang, tersepak, terjatuh, terpijak.
Bila orang memandu kereta 60 km sejam belum dikira laju. Tetapi jika jalan sempit, berbatu tidak rata, curam, jalan bengkang bengkok itu sudah berbahaya dan laju.
Bila di jalan raya, tanggapan terhadap apa yang dikira laju atau merbahaya adalah tanggapan masing-masing. Kepekaan terhadap persekitaran adalah penting. Dalam perjalanan, persekitaran juga berubah-ubah, apa yang dikira laju juga berubah-ubah. Kita akan ketemui had laju berubah-ubah dari satu tempat ke tempat lain.
Tanggapan had kelajuan oleh pemandu akan lebih dari penumpang walaupun mereka sama-sama sekereta, kerana pemandu ada persekitaran tambahan yang ia punyai kawalan. Amat biasalah pemandu dan penumpang tidak bersetuju dengan tahap kelajuan.
Untuk kapalterbang, 250 km sejam belum dikira laju. Kapalterbang tidak menggunakan jalan raya, ia bukan seperti kereta. Ia berbeza, persekitarannya berbeza. Tetapi jika diberi pemanduan kepada bukan juruterbang ia sudah menjadi bahaya.
Hidup ini nisbi bergantung dengan banyak perkara persekitaran dan apa yang seseorang boleh kawal.
Bila hidup dikelilingi manusia, kita ada satu jenis persekitaran manusia. Kepekaan terhadap persekitaran manusia adalah penting untuk berjalan dalam kehidupan dikalangan manusia.
Seperti pemandu dan penumpang, seseorang mungkin ada tanggapan yang berbeza terhadap persekitaran walaupun berada ditempat yang serupa. Bila Allah menjadikan Adam khalifah di bumi malaikat bertanya adakah kamu akan jadikan padanya yang membuat kerosakkan dan menumpah darah? Malaikat tak dapat menanggapi persekitaran manusia seperti Allah. Sebab Allah boleh mengawal keadaan. Atas kepercayaan kepada Allah, malaikat boleh menerima penghujahan Allah. Apa yang telah ditakdirkan Allah, itulah yang sebaik-baiknya. Jika ada pihak yang tidak mahu percaya, sampai sekarang pun boleh lihat ada manusia buat kerosakan dan menumpah darah.
Secara praktiknya, dalam kehidupan manusia, manusia dibekalkan akal fikiran untuk mempertimbangkan baik buruk tindakkannya setiap hari. Tidak akan ada wahyu yang turun memberitahu secara khusus apa yang ia patut perbuat setiap hari, maupun orang perseorangan yang boleh atau tidak boleh percaya. Inilah perkara yang setiap orang gunakan akalnya untuk memperincikan panduan umum dalam kehidupan seharian.
Apa yang ada, adalah panduan umum dalam beragama. Kita patut sentiasa meminta pertolongan, petunjuk, bersolat dan bersabar. Sejauh manakah usaha/amalan dalam perkara ini?
وَٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلْخَٰشِعِينَ
(Al Baqarah 2:45) : Dan mohonlah pertolongan dengan sabar dan shalat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu'
Comments
Post a Comment