Takwa Adalah Fitrah Manusia
Takwa adalah fitrah manusia.
Dalam al-quran, perintah yang pertama, yang terang ialah bertaabud (sembah) kepada Allah.
Al-Baqarah 2:21
يَآأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُون
Wahai manusia! Sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertakwa
Surah al-fatihah dan 20 ayat pertama surah al-baqarah adalah memperkenalkan persekitaran kehidupan manusia. Tentang Allah, kitab petunjuk, orang bertakwa, orang kafir dan manusia yang dakwa beriman tetapi tak bersama orang beriman, yang ada penyakit dalam hati. Semuanya berkaitan dengan Allah.
Apabila tiba ayat 21, Allah menyuruh semua manusia bertaabud (sembah) kepada Nya. Tujuannya "agar kamu bertakwa". Seolah-olahnya bertakwa itu satu yang diketahui umum. Jadi di sini kita faham secara bahasa, sepintas lalu, sebab bahasa adalah diketahui umum. Kanak-kanak kecil pun sudah boleh bercakap, ada bahasa. Erti takwa pada bahasa diambil dari "menjaga diri". Menjaga diri supaya sentiasa selamat, dan menjaga diri dari bahaya.
Jadi, itu fitrah manusia yang tak perlu disuruh "secara biasa". Manusia diberi penglihatan, dan pendengaran juga sebahagian dari deria yang membolehkan menjaga diri (bertakwa). Jadi sebelum ayat 21, Allah telah beri gambaran tentang persekitaran kehidupan. Dan manusia ada deria yang mengesan rasa sakit sebagai batas yang ia patut jauhi.
Sebelum ayat 21, kita baca, orang bertakwa selamat, orang kafir kena azab, yang berpenyakit pun sakit, jika macam itu logiknya suruhlah bertakwa. Tetapi bukan itu suruhannya, disuruh taabud kepada Allah. Kenapa? Manusia secara fitrahnya sudah ada kemahuan untuk bertakwa cuma caranya adalah pelbagai. Maka yang paling penting ialah taabud kepada Allah. Sebab dalam taabud kepada Allah diterangkan perkara penting yang manusia boleh menjaga diri.
Kita ambil satu contoh dari yang diberitahu dalam kitab Allah. Manusia dijadikan dari "عجل" (bersegera atau tergesa-gesa) al-anbiya 21:37. Ini adalah tabiat manusia, ianya tak semestinya tidak baik. Sepertimana api dijadikan panas kita perlu "menjaganya" ditempatnya supaya panas itu menjadi manafaat. Demikian sifat ingin segera itu hendaklah "dijaga" supaya tidak terjadi mudarat. Itulah takwa secara bahasa.
"Malas" bukan sifat asli manusia, tetapi jika orang mahu segera, bersenang tanpa usaha, itulah malas. Mahu cepat, guna jalan pintas ada tempat dan caranya. Bertakwa bermakna kita perhatikan sesuatu sebelum menempuhnya dan mempertimbangkan baik, buruk hinggalah saat terakhir.
Seperti itulah kita berjalan dengan mata terbuka hinggalah sampai tempat yang dituju. Bukanlah kita hafal jalan lalu berjalan dengan menutup mata. Walaupun kita telah lalui jalan itu berkali-kali.
Walaupun kita tahu sebelum sampai ke sesuatu matlamat dalam kehidupan, kita tidak menutup mata kerana hakikat kehidupan sentiasa ada perubahan hingga saat akhir.
Dalam suasana perlumbaan hidup, manusia berbangga siapa dahulu, siapa nombor satu. Jika tiada pertimbangan (tidak bertakwa), orang tidak akan mengira aturan atau peraturan, hanya untuk mencapai matlamatnya. Sering berlaku dalam kehidupan, tergesa-gesa bukan menjadikan lebih cepat, tetapi tonggang langgang. Menyelesaikan satu masalah dengan menimbulkan lebih banyak masalah.
Yang paling tidak nampak, itulah yang paling dilupakan, iaitu tuhan. Sebab itulah perintah yang pertama ialah taabud kepada Allah sebagai asas untuk menjaga diri.
Jika asas menjaga diri (takwa) adalah taabud kepada Allah, maka dalam mempertimbangkan sesuatu perkara, mengambil kira apa yang Allah suruh (selamat akhirnya), apa yang Allah larang (bahaya), apa yang Allah suka (aman) dan apa yang Allah tidak suka (berisiko). Apa yang Allah diamkan, itu pertimbangan sendiri.
Tetapi mahu segera itu kadang-kadang berlebihan hingga berfikir pun dikurangkan atau ditinggalkan. Dikurangkan ertinya cukup ada satu maklumat tak perlu maklumat lain. Bagaimana boleh dipertimbangkan jika ada satu maklumat sahaja? Kemudian berfikir boleh ditinggalkan bila dihafal jawapan sesuatu permasalahan. Cuma dalam kehidupan, jawapan kepada sesuatu permasalahan boleh jadi berbeza kepada lain orang, lain keadaan.
Tetapi apabila telah jelas sesuatu suruhan Allah, apa yang Allah suka, bersegera tentangnya adalah baik sekali.
Demikian satu contoh tentang sifat manusia (عجل). Boleh diterjemahkan sebagai tergesa-gesa atau bersegera atau ingin cepat. Jika diterjemahkan tergesa-gesa ia memberi erti tidak baik. Tetapi jika bersegera ianya bererti baik. Maka bertakwa ialah menjaganya pada tempat yang baik. Maka inilah sebahagian dari taabud kepada Allah, kita percaya apa yang Allah beritahu. Taabud bukanlah sama erti dengan semata-mata sembah dalam kefahaman orang melayu. Melaksanakan semua suruhan Allah itu taabud, itu juga ada matlamat takwa, meninggalkan larangan Allah juga taabud, itu juga ada matlamat takwa, mempercayai apa yang Allah beritahu walaupun manusia tak boleh kaji atau nampak itu juga taabud, seterusnya mempergunakannya, memikirkan dan buat petimbangan dengannya adalah sebahagian dari yang membolehkan bertakwa menjaga diri.
Bertakwa itu fitrah jika difahami ertinya menjaga diri, yang tidak hiraukan takwa adalah tidak semulajadi, penyakit atau kecacatan.
Comments
Post a Comment