Melayan Manusia

Melayan manusia.

Tidak ada yang lebih baik melayan manusia melainkan tuhan pencipta manusia. Jika tidak mengambil panduan dari situ, maka boleh berlaku banyak perkara yang melanggar perkara "asasi manusia".

Manusia adalah satu makhluk yang hidup. Mempunyai hak seperti mana-mana makhluk hidup lain. Hak ini samalah seperti haiwan, makan minum, tempat tinggal yang selamat.

Tetapi manusia ada diberikan akal, tidak seperti haiwan. Jadi berbeza hak kemanusiaan dan hak kehaiwanan ialah kerana akalnya. Istimewa "kemanusiaan" ialah kerana akalnya. Oleh kerana itulah hak memilih diberi. Akal manusia membuat pertimbangan, setiap individu manusia ada akal masing-masing yang ada hak memilih. Dan uniknya ialah ianya berbeza antara manusia.

Apabila manusia "disekat", "ditekan" dua istilah yang memberi erti pilihannya dihad atau ditiadakan, maka fungsi akalnya dimatikan, maka ketika itu samalah dengan kehaiwanan.

Inilah cabaran melayan manusia dengan kemanusiaan. Tidaklah pengembala yang mengembala haiwan mahu menganiaya gembalaannya atau menzaliminya. Inginkan kebaikan dan manfaat.

Jika manusia ingin menjaga kemanusiaan atas "dasar manusia", tentulah akan timbul konflik kepentingan. Seorang manusia tidak boleh melebihkan dirinya dari manusia lain. Konflik kepentingan ini hanya boleh diselesaikan bila manusia dijaga atas "dasar ketuhanan". Yakni panduan tuhan sebagai pencipta manusia.

Dalam menghadapi wabak, "ketidaktahuan", manusia tidak punya banyak pilihan, penguasa tertekan. Takutkan kematian akan menyebabkan penguasa tertekan, satu keadaan yang mencabar pegangan dan prinsip apakah kemanusiaan akan dapat dijaga atau tinggal setakat kehaiwanan.

Apabila sesuatu perintah dijalankan maka maksud kepada perintah itulah yang terlaksana. Maksud adalah ketentuan (pilihan) yang difahami akal. Itulah fungsi akal. Ini membolehkan satu perintah yang umum (samar) dilaksanakan, atau membolehkan berlakunya pilihan lain yang mencapai maksudnya.

Ini juga bermakna sesuatu perintah yang dijalankan pada "maksudnya" tidak semestinya sama secara "harfiahnya".  Oleh kerana "maksud" adalah tanda akal digunakan, "harfiah" memberi tanda kurang akal, atau akal yang minima atau tiada langsung, walhal haiwan yang dikatakan tiada akal itupun, ada yang boleh disuruh berbuat sesuatu secara terhad.

Apa yang amat sukar untuk seorang manusia dalam "kemanusian" ialah membenarkan orang lain mengambil pandangan atau tindakan berbeza. Lebih sukar lagi bila ada sangkaan tidak baik. Orang boleh bersangka tidak baik atas pelbagai sebab. Ia dikira sangkaan kerana menjangka sesuatu yang akan datang.

Memberi pilihan adalah memberi akal berbuat pertimbangan. Hampir sama dengan kebebasan. Tetapi tidak semestinya. 
Dua perkara yang mengelirukan ramai.

Akal berfungsi atas perkara yang ia maklum, ia tahu atau maklumat. Menyekat maklumat sudah hampir kepada menyekat akal, kurangnya kemanusiaan. Tentunya membuat-buat maklumat adalah pembohongan dan menjadi racun untuk akal. Jadi "memberi peluang akal membuat pemilihan dan pertimbangan" ialah dengan memberinya maklumat yang benar. Semata-mata "kebebasan", tidak terhad kepada kewarasan, atau penggunaan akal yang benar. Ada pertindanan, tetapi tidak sama.

Kita melihat ideologi buatan manusia, tidak dapat keluar dari konflik kepentingan. Apabila tertekan, pihak yang lebih berkuasa akan memaksakan kehendaknya atas yang dikuasainya. Berlakulah pemaksaan dan penindasan.

Mencari nama, muka atau maruah, adalah kepentingan golongan mewah dan berkuasa. Jika manusia tidak mencari perkara itu dari tuhannya, contohnya atheis, maka dia akan mencarinya dari manusia. Maka tidak ada masalah untuk nya memaksa, menipu, menindas satu golongan kecil, untuk dapatkan dari golongan yang lebih.

Al-A'raf 7:179
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ ءَاذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَآۚ أُو۟لَٰٓئِكَ كَٱلْأَنْعَٰمِ بَلْ هُمْ أَضَلُّۚ أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْغَٰفِلُونَ 
Dan sungguh, Kami biarkan untuk Jahanam ramai jin dan manusia. Ada hati,

tetapi tidak memahami dengannya dan ada mata (tetapi) tidak melihat dengannya, dan ada telinga (tetapi) tidak mendengar dengannya. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Itulah mereka yang lalai.

Jika orang (secara peribadi) tidak gunakan hati, mata telinga sudah begitu teruk, bagaimanakah pihak yang menyekat manusia lain dari menggunakannya, menjadikannya sebagai haiwan? Di mana perikemanusiaan.

Comments