Pengajaran Covid 19
Apa pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa covid-19?
Terkena penyakit tetapi tidak tahu adalah teruk sekali. Tidak tahu kerana tidak nampak. Orang sedar penyakit itu apabila sudah timbul tanda, yakni sudah teruk.
Oleh kerana tahu kesudahannya, tetapi tidak tahu permulaannya, manusia cuba meneka-neka, mengada-adakan cara mengelakkannya, hingga menyusahkan ramai orang, hingga tak sembahyang jamaah dan jumaat. Yang tak biasa melazimi jamaah tak merasa apa-apa kurangnya.
Alangkah baiknya bila orang tahu dan nampak bila suatu penyakit itu datang. Tak perlulah susahkan semua orang kerana satu dua orang sakit. Bahkan rawatan awal boleh dijalankan sebelum parah.
Tetapi banyak perkara sakit menyakit ini tidak nampak permulaannya. Tentunya jika sampai mati pun tidak ada tanda, itu lebih hebat fitnahnya. Bukan tak ada, tapi bila masuk kubur, bila keluar kubur baru tahu. Aduhai! kalau setakat kena qurantin..
Yang tak nampak itu kita (manusia), kalau Allah, Dia tahu dan memberitahu. Penyakit yang terbiar akan berkesudahan yang menyakitkan.
Al-Baqarah 2:10
فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضًاۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْذِبُونَ
Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakitnya itu; dan mereka mendapat azab yang pedih, karena mereka berdusta.
Jadi apa yang manusia buat untuk mengelak perkara ini? Satu golongan langsung tak percaya, mana ada bukti, tak ada data saintifik. Satu golongan lagi tahu dan percaya tetapi tak nampak, mengada-adakan tindakan sendiri, buat begitu dan begini, menyusahkan diri sendiri dan orang lain.
Tapi jadilah orang yang nampak dan tahu, belajar dan beramal, hingga nampak melalui ilmunya. Ini bukan ilmu kasyaf para tariqat tapi ilmu Islam yang bermula dengan
Al-Fatihah 1:6
ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ
Tunjukilah kami jalan yang lurus
Tiap-tiap rakaat sembahyang minta perkara ini. Bolehkah kita kira satu yang Allah tunjukkan, dan kita lalui jalan itu?
Kita tidak kata ini tariqat walaupun dalam bahasa arab "tariq" bererti jalan.
Bolehkah kita nampak jalan dengan ilmu kita sendiri, bukan hanya ikut orang lain? Walaupun tidak ikut-ikut orang, perlu sedar, kita perlu belajar pejelasannya dari orang yang lebih mengetahui.
Petunjuk dalam kehidupan ialah al-quran. Belajarlah mengenainya, fahamilah isinya. Bermula belajar ialah dengan membaca.. Sebagai galakkan, membaca tanpa faham pun dikira berpahala tapi itu galakkan, langkah awal, bukan matlamatnya. Janganlah berhenti setakat itu sahaja. Tujuan al-quran ialah menjadi panduan hidup setiap orang. Mampukah kita apabila bermasalah atau tidak bermasalah, merujuk al-quran untuk panduan hidup?
Al-'Alaq 96:1
ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan,
Bacalah bersungguh-sungguh, serius. Bacalah, sampai faham, demi nama tuhan, sampai tahu, jika tak tahu tanyalah, belajarlah, sampai nampak (dengan ilmu) apa yang tuhan perkatakan. Tuhan yang mencipta, bukan kamu yang mencipta. Al-quran ini panduan untuk kamu, jagalah nama tuhan yang kamu baca atas namanya.
Al-Baqarah 2:2
ذَٰلِكَ ٱلْكِتَٰبُ لَا رَيْبَۛ فِيهِۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ
Kitab (yang termaktub) "ini" tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa,
Dah baca, ikutilah panduan itu baru jadi bertakwa. Tidak ada manafaat petunjuk jika tidak faham atau tidak ikut, tidak ada takwa.
Yang termaktub itu bila dibaca barulah jadi petunjuk untuk manusia, yang membaca dan yang mendengar.
Al-Baqarah 2:185 ...
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِۚ
Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Qur'an, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda...
Ada dua bentuk dalam ayat ini, (هُدًى) bentuk umum (nakirah). Kemudian (الهُدٰى) bentuk khusus (ma'rifah). Salah satu maknanya, al-quran ada petunjuk umum semua perkara, dan ia adalah petunjuk khusus kepada agama ini, mesti guna al-quran dalam perkara agama. Jika al-quran tunjukkan perkara lain, maka perkara itu jadi petunjuk juga, petunjuk kedua.
Jangan biarkan wabak ini berlalu tanpa pengajaran. Penyakit yang tak ada tanda itu, boleh berkesudahan yang teruk, bukan kerana peritnya, tetapi kerana dibiarkan sahaja. Air yang menitik-nitik pun, lama-lama boleh melekukkan batu.
Buatlah sekadar yang mampu, ramadan mubarak.
Comments
Post a Comment