Nilai Dalam Hidup
Al-'Ashr 103
وَٱلْعَصْرِ
Demi masa,
إِنَّ ٱلْإِنسَٰنَ لَفِى خُسْرٍ
sungguh, manusia berada dalam kerugian,
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.
Dalam ugama, nilai terletak pada iman dan amal salih. Nilai tidak terletak pada keadaan atau sifat seseorang. Seringkali nilai yang digunakan oleh orang ramai tidak selaras dengan ugama. Keadaan atau sifat seseorang seperti kaya, miskin, cerdik, bodoh menjadi nilai masyarakat. Sedangkan dalam agama beriman dan amal salih patut jadi nilaian.
Jadi lebih patut untuk suka kepada keimanan dan amal salih. Serta benci kepada kekufuran dan amal yang buruk.
Tidak patutlah kaya dan cerdik menjadi kesombongan. Juga tidak patut dirasa hina kerana miskin dan bodoh.
Dalam keadaan salah nilai, masyarakat menjadikan kaya dan cerdik sebagai kebanggaan manakala miskin dan bodoh sebagai cemuhan. Ini merosakkan nilai yang diajar agama. Orang takut miskin hingga sanggup berhutang pada yang tidak perlu dan hidup mewah mementingkan diri sendiri. Dan takut kebodohan hingga tidak sangup dengar teguran. Berbuat salah ditakuti menjadi bodoh, lebih ditakuti dari berdosa. Kena tegur dianggap satu cemuhan, memalukan. Menolak teguran yang benar adalah bahagian dari kesombongan.
Kita tidak jumpa dalil Allah marahkan manusia kerana miskin. Juga tidak dikira berdosa semata-mata bodohnya seseorang. Dosa dan pahala dikira mengikut amal seseorang.
Hanya yang perlu waspada ialah orang bodoh mempunyai risiko yang lebih untuk berbuat amal yang buruk. Bila dia beramal buruk, jatuhlah kedalam dosa. Sedangkan orang yang cerdik pun, dia tidak pandai semua perkara. Ada perkara yang dia tidak tahu menahu, menjadikan dia sama seperti orang bodoh dalam perkara itu. Cerdik dan bodoh bukanlah suatu yang mutlak.
Demikian juga manusia miskin, kaya pun tidak mutlak. Orang kaya tidak berada sepenuhnya, dia masih perlukan manusia lain dalam perkara yang dia tidak ada.
Maka hendaklah saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran. Saling dengan erti memberi dan mendengar pesanan. Tiada erti berpesan tanpa ada pihak yang mendengar.
Manusia ternilai kerana keimanan dan amal salih. Hanya Allah maha kaya, maha bijaksana.
Perkara yang bernilai dalam hidup ialah perkara yang anda tercari-cari. Adakah anda tercari-cari perkara yang tidak diketemui, adakah ia dari keimanan dan amal salih? Perbetulkan pencarian anda supya tidak tercari-cari perkara yang tidak ada.
Comments
Post a Comment