Korupsi - Pembersihan Hati
Korupsi perkataan. Korupsi diambil dari perkataan Inggeris, "corruption". Ia bererti sesuatu yg tercemar, menjadi rosak tapi tidak hancur. Masih berfungsi tetapi ada perkara yang tidak berfungsi.
Kita lihat korupsi perkataan "tentatif". Perkataan ini diambil dari perkataan inggeris "tentative", ia adalah kata sifat yang bererti sifat "belum tentu". Tetapi ramai orang menggunakannya dalam bahasa Melayu dengan erti "jadual" atau "aturcara". Ianya tidak lagi memberi makna sifat, bahkan jadi kata benda.
Bahasa pertuturan (orang) agak anjal dalam menggunakan kata sifat sebagai kata benda. Jika seekor kucing mempunyai corak bertompok-tompok, orang boleh memanggil kucing itu "tompok". Jadi, sifat itu berubah menjadi kata benda, iaitu nama khusus kucing tersebut.
Dalam penggunaan biasa yang berbahasa inggeris, dalam merancang sesuatu majlis mereka buat cadangan kepada aturcara, yang belum pasti, mungkin berubahq, dikatakan "tentative program". "program" dengan erti jadual atau aturcara. Oleh kerana masih peringkat awal perancangan masih belum pasti maka ia dikatakan "tentative program".
Tetapi bila bahasa rojak digunakan, bercakap campur aduk inggeris dan melayu dengan pendengar Melayu. Perkataan itu tiba-tiba bertukar erti jadi "aturcara" sebab yang berbahasa Melayu tidak fahami erti "program" dalam bahasa Inggeris juga bererti aturcara.
Ini adalah contoh korupsi pada penggunaan perkataan bila berlaku terjemahan. Menterjemahkan makna perkataan mengikut kebiasaan percakapan (Melayu), iaitu mendahulukan benda dari sifat.
Dalam bahasa inggeris, sifat mendahului benda. "Tentative program", perkataan sifat "tentative" didahulukan sebelum kata benda "program". Tetapi bila disebut dalam bahasa melayu, perkataan kedua, "program", adalah kata benda. Maka perkataan sebelumnya mestilah kata benda juga.
Kita katakan ini korupsi, dengan maksud perkataan "tentatif" masih boleh dipakai dalam pertuturan, tetapi maksud asalnya sudah berubah, rosak.
Perkataan korup ini akan menimbulkan masalah jika ia digunakan ditempat lain. Seperti "tentative route", bererti laluan yang mungkin dilalui. Mungkin ada jalan lain, cuma setakat ini diketahui jalan itu sahaja.
Cuba kita fikir, bagaimana kebiasaan perkataan digunakan akan mempengaruhi maksud dan makna. Terjemahan boleh berlaku dalam bahasa yang sama, tidak semestinya bahasa yang berlainan.
Contoh yang kita gunakan "tentative dan tentatif" adalah diketahui asal usulnya dan adalah perkataan baru dalam masyarakat. Sedangkan ada banyak perkataan yang sudah lama digunakan. Maksud lama ialah, perkataan yang kita gunakan sejak kecil, sejak mula kita tahu bercakap.
Kebiasaan kita terbentuk mengikut persekitaran tempat kita hidup dan dibesarkan. Begitulah kita memahami perkataan, makna dan maksudnya. Dan ianya akan jadi berbeza dengan orang lain yang berlainan persekitaran hidup. Perbezaan ini adalah asas kepada berselisih faham. Walaupun asasnya masih bahasa melayu.
Termasuk dalam beza persekitaran ialah: zaman, generasi, kampung, bandar, senang, susah, orang hidup sendirian, hidup ramai-ramai, sebagai anak-anak, jadi ibu, jadi bapa, orang lelaki, wanita, status dalam masyarakat dan sebagainya.
Walaupun kita belajar bahasa, perkataan yang kita gunakan tidak terhad kepada makna yang ada dalam kamus, tetapi pengalaman hidup akan mempengaruhinya secara positif atau korup jadi negatif.
Ada pun perkataan "tentatif" hanya berkait dengan "aturcara", adalah tidak serius. Tetapi jika ia berkaitan dengan agama, maka ia menjadi serius. Jika berkaitan dengan akhlaq atau emosi, maka ia boleh menganggu hubungan antara manusia.
Yang amat perlu dijaga ialah yang berkaitan dengan agama. Perkataan yang ada sangkut paut dengan al-quran atau hadis perlu lebih cermat.
Manakala manusia perlu petunjuk, pengajaran sepanjang hayatnya maka perkataan yang berkaitan perlu diteliti supaya tidak menganggu petunjuk, pembelajaran.
Paling asas, tidak menggangu pendengaran, kerana semua perkataan boleh disebut dan didengari. Mendengar adalah satu saluran untuk manusia tahu sesuatu.
Pengalaman saya sendiri, perkataan "rajin" yang anda semua mafhum maksudnya, menjadi tercemar bila hidup dikalangan manusia yg suka mencemuh. Perkataan "rajin" dijadikan olok-olok, sindiran kepada yang berusaha bersungguh-sungguh, seolah-olahnya berpura-pura. Perkataan itu terkait dalam minda mempunyai makna tidak baik. Menyebabkan secara tidak sedar, mereka tidak suka kerajinan. Inilah salah satu yang membentuk sikap pemalas.
Kita mungkin ketemui banyak perkataan yang tercemar, dikotori dengan makna yang tidak betul, menjadi masalah dalam masyarakat. Contohnya, ada orang "alahan" dengan perkataan "ajar", menyebabkan dia tidak suka dan tak boleh diajar, ditegur. Walaupun tidak disebut, sudah cukup hanya maksudnya sahaja. Sering didengar penceramah berkata "saya bukan nak mengajar, tapi nak beritahu tuan-puan...." Sampai penceramah terpaksa membuat penafian, walhal berceramah adalah satu cara menyampaikan pengajaran dan mengajar orang.
Orang yang hidup dalam kelompok yang suka bertengkar mungkin akan mempunyai banyak perkataan atau patah perkataan yang berkait (tercemar) dengan maksud pertengkaran.
Tulisan ini hanya memberi contoh beberapa perkataan yang tercemar, korupsi berlaku pada maknanya. Adapun banyak lagi perkataan lain yang perlu dibersihkan supaya manusia dapat memahami antara satu sama lain.
Orang bercakap, tetapi tak dapat memahami dengan betul kerana maksud perkataan sudah korup. Manusia belajar erti perkataan dan bahasa mengikut pergaulan hidup dengan masyarakat sekelilingnya. Malangnya ia tidak sentiasa bersih. Maka yang tersimpan dalam hati/minda perlu pembersihan.
Zaman sekarang bahasa sudah jadi antarabangsa, masalah korupsi makna (kaitan) perkataan lebih meluas. Media massa mengaitkan Islam dengan keganasan, mempengaruhi ramai yang tidak mengenali Islam.
Antara cara mengesan dan membersihkan hati ialah dengan membaca dan memahami al-quran. Kerana memahami al-quran adalah sesuatu yang boleh dipelajari makna yang bersih.
Al-Isra' 17:53
وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُوا۟ ٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُۚ إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْۚ إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ كَانَ لِلْإِنسَٰنِ عَدُوًّا مُّبِينًا
Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sungguh, setan itu (selalu) menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sungguh, setan adalah musuh yang nyata bagi manusia.
Comments
Post a Comment