Fitrah dan Ketergasan

Fitrah dan ketergesaan

Al-Anbiya 21:37
خُلِقَ ٱلْإِنسَٰنُ مِنْ عَجَلٍۚ سَأُو۟رِيكُمْ ءَايَٰتِى فَلَا تَسْتَعْجِلُونِ 
Manusia diciptakan (bersifat) tergesa-gesa. Kelak akan Aku perlihatkan kepadamu tanda-tanda (kekuasaan)-Ku. Maka janganlah kamu meminta Aku menyegerakannya.

Walaupun fitrahnya begitu, ianya bukan sesuatu yang patut dibiarkan, bahkan perlu perlu penjagaan.  Semata-mata fitrah bukan bererti ianya baik secara mutlak.

Manusia menginginkan sesuatu hasil dan segera mendapatinya.

Tetapi antara keinginan dan hasil ada usaha atau amalan.

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang yang beriman, mengerjakan amal salih, saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran. al-'asr.

Antara keinginan dengan hasil, perlu diberi masa. Masa untuk kepercayaan, usaha dan keterbukaan kepada pesanan, nasihat beserta kebenaran dan sabar.

Sifat ingin cepat adalah berlawanan dengan keperluan memberikan masa. Sering manusia membelakangi sesuatu yang dianggap lambat. Ini berlaku secara (1) menukar keinginan. Daripada membuat sesuatu yang panjang, kepada berbuat sesuatu yang pendek-pendek. Ini berlaku kepada orang yang ada banyak kerja. Banyak kerja pendek-pendek siap, tetapi kerja yang panjang terbengkalai. (2) Mengelak dari berfikir. Ertinya orang berpada dengan apa yang sudah diketahuinya. Menghafal sesuatu adalah langkah cepat untuk mencapai hasil. Dalam perkara yang berulang yang dibuat setiap kali, ini adalah cara yang baik. Cepat tapi tidak kreatif. Jika tidak sesuai dengan keadaan, tidak berfikir akan dilihat sebagai suatu kebodohan. Kelihatan oleh orang lain, tetapi tidak oleh orang yang berbuat.

Dalam kehidupan, orang akan menempuh banyak perkara baharu. Sifat ingin cepat, walaupun fitrah, perlu dikawal. Banyak perkara baharu memerlukan masa, ini termasuklah belajar, mengingat, mengenal, berubah. Jika ingin cepat, perkara-perkara seperti ini akan jadi kelemahan, iaitu gagal belajar jadi ketinggalan, tidak peka keadaan, tidak boleh berubah.

Semua di atas dilihat secara berbalik kepada diri sendiri. Jika melibatkan hubungan dengan orang lain ia akan menjadi lebih kritikal. Ini adalah kerana satu lagi perkara yang kerananya manusia dijadikan, iaitu khalifah di bumi. Manusia ada keinginan dengan manusia lain. Contohnya dia mahu kebaikan untuk orang lain. Dia mahu menasihati orang lain begitu begini, tanpa mengira samada dia ada kepentingan atau tidak.

Ini bermakna manusia ada sesuatu keinginan yang hasilnya terletak pada manusia lain.  Ingin cepat dalam keadaan sebegini tanpa mengenal orang lain boleh membawa salah faham dan persengketaan. 

Ingin cepat tanpa memberi masa secukupnya bermakna banyak perkara seperti yang disebut dalam surah al-'asr tidak menjadi. Contohnya jika sampai "matlamat menghalalkan cara", ini bermakna keimanan sudah diketepikan.  Tanpa masa secukupnya juga bermakna, mengenal tidak berlaku, menjadi tidak perihatin, kelihatan sebagai tindakan kasar atau sikap "aku lebih tahu", walaupun niatnya hanya untuk menolong.

Asal sifat ingin cepat adalah baik, menjadikan manusia tidak bertangguh-tangguh. Berbuat sebanyak mungkin amalan baik, tidak berdiam diri. Ia bukan cepat mendapat hasil.

Begitulah yang kita boleh lihat akibatnya dalam perhubungan sesama manusia, supaya kita boleh bayangkan bila berhubung dengan Allah. Manusia ada keinginan dengan Allah maka hendaklah dia perhatikan, tidak ingin cepat dalam hubungannya dengan Allah terhadap apa yang sudah Allah tetapkan.

Comments