Manusia Dan Kerosakan

Manusia buat kerosakan kerana tidak sedar.

Al-Baqarah 2:11 - 12
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ قَالُوٓا۟ إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ 
Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Janganlah berbuat kerusakan di bumi!” Mereka menjawab, “Sesungguhnya kami (sebaliknya) orang-orang yang melakukan perbaikan.”
أَلَآ إِنَّهُمْ هُمُ ٱلْمُفْسِدُونَ وَلَٰكِن لَّا يَشْعُرُونَ 
Ingatlah, sesungguhnya merekalah yang berbuat kerusakan, tetapi mereka tidak menyadari.

Ini membezakan antara tidak sedar dan tidak tahu. Jika orang sudah ditegur maka dia sudah diberitahu. Bila dia menjawab, maka dia sudah tahu. Tetapi dalam kes ini, berlaku percanggahan antara yang diberitahu dan jawapan.  Sebab ini kalam Allah, kita terima bahawa yang diberitahu adalah benar, dan jawapan itu tidak benar. Inilah yang dikatakan "tidak sedar". Dengan erti lain ia tidak berbohong, walaupun itu tetap dusta.

Oleh itu "tidak sedar", bermakna orang tahu perbuatannya tapi sekadar itu sahaja. Sedangkan akibat kesudahannya tidak diketahui. Seorang yang berbuat sesuatu, yang tahu secara luaran sahaja tidak tahu perincian berkemungkinan punyai banyak perkara tidak sedar.

Apakah manusia boleh dipersalahkan terhadap perkara yang dia tidak sedar? Tentunya tidak boleh salahkan orang yang tidak sedar kerana ia termasuk dalam perkara yang ia tidak tahu.

Tetapi jika perbuatan itu membawa kerosakan, ia tetap menjadi kerosakkan walaupun tidak sedar.

Beginilah al-quran menjadi petanda (ayat) untuk orang yang mahu bertakwa menjaga diri dari melakukan kerosakan. Memperkenalkan keadaan yang menunjukkan ada perkara yang tidak disedari. Jika kita hidup dikalangan orang yang bertakwa maka akan ada teguran. Jika teguran itu bercanggah dengan apa yang kita tahu, maka perlulah kita selidik cari penjelasan kemungkinan ada perkara yang kita tidak sedar. Itu tindakan bertakwa. Jawapan sepontan seperti al-quran itu, tanpa mencari penjelasan, memungkinkan kita termasuk dalam golongan yang membuat kerosakan. Kita tidak boleh terlalu yakin sebelum memahami keadaan. Untuk orang bertakwa, apabila ditegur, sesuatu yang dia merasakan sudah betul pun, dia perlu dapatkan penjelasan.

Itu sikap orang yang mahu bertakwa bila ditegur, sentiasa boleh ditegur, sentiasa terbuka untuk memahami keadaan walaupun dari pandangan orang lain terhadap diri sendiri.

Bagaimana mengelak dari "tidak sedar"? Hampir mustahil untuk semua keadaan. Sebenarnya kita bergantung kepada Allah samada melalui manusia atau lain-lain. Antara caranya ialah mendapatkan ilmu-ilmu terhadap perkara yang mahu kita lakukan. Orang kata belajar sebelum bekerja, atau tuntut ilmu sebelum beramal.

Sedikit cabaran ialah kita hidup dahulu sebelum ada ilmu. Jadi banyaklah perkara yang perlu pembetulan atau pembersihan. Ilmu hidup dunia akhirat yang penting adalah melalui Al-Quran dan sunnah. Jika kita tidak mengetahuinya, maka akan banyaklah perkara yang kita tidak sedar.

Al-quran banyak memberi kesedaran kepada manusia. Tetapi dalam kehidupan banyak perkara yang menghalang kesedaran. Iaitu mengetahui perkara salah, beramal atau berkelakuan salah yang disangka betul.

Contohnya, seorang yang dibesarkan secara bukan Islam. Dia berkeyakinan dialah yang benar maka dia tidak mahu lagi melihat Islam. Logiknya jika sudah benar kenapa perlu cari lagi, tak perlu habiskan masa untuk berfikir tentang kebenaran.

Contoh lain ialah orang yang mendapat acuan salah dalam kehidupan. Jika dia dibesarkan ditempat orang yang sentiasa merendah-rendahkan orang lain, maka dia dapat acuan sifat manusia:  sentiasa merendah-rendahkan orang lain. Maka dari acuan itu, sebarang teguran akan dilihat sebagai merendah-rendahkan orang. Jadi dia kehilangan satu punca petunjuk dari teguran-teguran orang lain yang benar-benar menegur. Jika dia menegur pun, acuannya menjadikan tegurannya suatu yang merendah-rendahkan orang, menjauhkan orang darinya.

Al-quran itu sendiri ada banyak perkara yang perlu manusia sedar. Berkenaan tuhannya, berkenaan dirinya sendiri sebagai manusia, berkenaan hari berbangkit, apa erti itu dan ini. Tentunya manusia tidak dipersalahkan terhadap perkara yang dia tidak sedar, tetapi keengganan manusia untuk menyedarkan diri adalah satu kecuaian. Apakah cukup dengan membacanya tanpa mengerti apa makna dan maksudnya?

Comments