Kenal
Aspek kedua ayat ini adalah perkataan تعارَف dengan ra baris atas, ada erti saling, kenal mengenali.
"Kenal" adalah tahu secara praktik perbezaan antara banyak persamaan, dan antara perbezaan yang sementara dan perbezaan "kekal". Untuk tahu, boleh diberitahu. Semata-mata beritahu belum cukup untuk dikira kenal. Biasanya kenal juga melibatkan "melihat", jika ianya benda. Jika makanan ianya juga melibatkan bau dan rasa.
Dalam perkara yang tidak kelihatan, kenal akan melibatkan hati atau pemikiran. Contohnya kanak-kanak dikira mumaiyiz apabila boleh mengenal baik dan buruk.
Jadi kenal adalah sesuatu yang tidak perlu diberitahu apabila sudah kelihatan. Atau tidak perlu diterang panjang lebar bila teringat. Ertinya jika perlu diberitahu kembali, maka masih belum kenal.
Tetapi mengenal dan memberitahu memerlukan ilmu atau bahasa untuk mengaitkan kedua-duanya. Mengenal perkara abstrak adalah sejajar dengan perkembangan pemikiran, mental atau akal seseorang. Dalam kehidupan manusia perlu kenal banyak perkara. Yakni tidak boleh bergantung kepada orang lain untuk memberitahukannya, kecuali dia orang buta. Tapi orang buta masih ada akal, deria rasa dan tangan yang dia boleh mengenal perkara yang memerlukan mata. Kecacatan ini menyebabkan ia tidak dapat mengenal jarak jauh, atau khusus berkaitan cahaya.
Manusia cukup umur dianggap dewasa menanggung sendiri dosa pahala, dikira sudah boleh mengenal secara minima, tanggungjawab serta perkara-perkara yang berkaitan. Yakni dia sudah boleh kenal yang boleh dan tidak boleh. Kenal dirinya dan tuhannya. Kenal dirinya dari manusia selainnya. Kenal kedudukan diri dan tanggungjawabnya.
Itu semua jika urusan hidup berjalan dengan sempurna. Praktiknya adalah perkara yang perlu diperingatkan kembali kerana manusia tidak mengenal perkara yang sepatutnya dikenal.
Oleh itu ayat hujurat 13 ini, memperingatkan manusia punyai susunan masyarakat yang tertentu. Sepatutnya orang mengenali susunan antara manusia. Ayat ini hanyalah tanda umum.
Dalam pergaulan sesama manusia, dia perlu kenal susunan semasa, pada peringkatnya. Jika budak-budak masuk sekolah dia perlu kenal rakan sebaya, sedarjah dengannya, dan guru yang mengajarnya. Guru-guru perlu kenal murid-murid yang pandai dan tidak.
Dalam keluarga, masih-masing ahli keluarga kenal adik, abang, emak, ayah bukan hanya dari sudut kelahiran tetapi dari sudut tanggungan.
Dalam negara, manusia perlu kenal pihak berkuasa, aturan dan undang-undang. Tidak perlulah sempurna 100%. Tapi cukuplah apa yang dia selalu terlibat, seperti peraturan lalulintas.
Juga dalam pekerjaan dan pelbagai keadaan manusia, dia perlu kenali susunan yang banyaknya tidak boleh menunggu, berharap orang lain beritahu. Hinggakan, jika dia masuk dalam kelompok orang yang tidak dikenali perlulah dia cuba mengenal siapa orang yang dihormati, orang yang dipercayai, apakah ada ketua?
Tanpa mengenal, manusia tidak dapat menerima tanggungjawab apatah lagi menjalankan tanggungjawab. Seperti kanak-kanak yang belum dewasa, dia sudah ada banyak keinginan, belum boleh dipertanggungjawabkan tetapi semuanya masih ditanggung oleh penjaganya.
Demikianlah ayat hujurat 13 ini hanya menyebut tentang mengenal manusia. Tetapi mengenal tidak setakat manusia.
Masa dan hari-hari berlalu, tetapi perlu kenal hari ada nama-nama tertentu, ada peristiwa-peristiwa tertentu, ada perkara berbeza yang perlu dibuat. Ada hari kerja, ada hari cuti, ada bulan puasa, ada hari raya.
Begitu juga tempat-tempat dunia terbentang. Ada tempat sembahyang, ada tempat bermain, ada tempat kerja, tempat buang sampah, dan bermacam-macam. Semua ini perlu dikenal tidak perlu bergantung kepada orang lain beritahu.
Bermula dari kanak-kanak, perlu kenalkan bukan sahaja kaki tangan, tapi hari masa, tempat. Contohnya tempat tidor berbeza dengan tempat makan, berbeza dangan tempat bermain. Begitu juga ada masa bermain, ada masa makan, ada masa tidor, ada masa belajar. Masa kanak-kanak penjaganya yang aturkan masanya. Bila dewasa, penjaganya perlulah melepaskan kawalan terhadap jagaannya.
Kenal manusia pun tidaklah setakat kelahiran atau keturunan. Tetapi kenali juga perangai dan sifat-sifat manusia. Ada sifat-sifat ada asal yang tidak boleh diubah dengan sifat-sifat yang boleh dipilih.
Dan mungkin, paling sukar ialah mengenal keutamaan.
Adalah lebih rengkas untuk menceritakan apa yang sepatutnya dari yang sebaliknya. Kerana kenal berkait dengan beberapa perkara yang praktiknya boleh tersilap. Seperti agama yang benar. Walaupun mumaiyiz adalah kanak-kanak yang dapat mengenali betul dan salah, ia belum boleh berpegang dengan akidah yang betul, sebab itulah dia perlu belajar.
Mengenal bukan setakat tahu, bukan perkara yang mudah cakap, setakat kenal belum menjamin manusia berbuat sesuatu yang benar.
Ini membawa aspek seterusnya ayat ini berkenaan takwa.
Comments
Post a Comment