Dengar dan Fikirkan

Al-Mulk 67:10, 11
وَقَالُوا۟ لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِىٓ أَصْحَٰبِ ٱلسَّعِيرِ 
Dan mereka berkata, “Sekiranya (dahulu) kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) tentulah kami tidak termasuk penghuni neraka yang menyala-nyala.”

Bagaimana mereka boleh kata begitu? Mungkin mereka sudah melihat. Jika orang tidak tahu menahu (tidak pernah mendengar dan lihat), tentunya dia boleh buat alasan: tidak tahu menahu, tidak diberitahu. Tetapi "mendengar" di sini bukan bermaksud harfiah, tetapi bermaksud memerhati dan bertindak menerima yang benar, kerana, selepas itu disertakan "atau memikirkan". Yang mereka katakan itu adalah langkah permulaan ke arah petunjuk. Bukanlah bermakna mereka itu tuli atau tidak pernah berfikir apa-apapun. Tapi langkah permulaan ini pun tak buat.

فَٱعْتَرَفُوا۟ بِذَنۢبِهِمْ فَسُحْقًا لِّأَصْحَٰبِ ٱلسَّعِيرِ 
Maka mereka mengakui dosanya. Tetapi jauhlah (dari rahmat Allah) bagi penghuni neraka yang menyala-nyala itu.

Tak mendengar atau berfikir merupakan satu dosa yang boleh menyebabkan orang terjatuh dalam neraka. Padahal "mendengar atau memikirkan" adalah perbuatan mental / hati, yang tak perlukan kekuatan fizikal. Sesiapa pun boleh, selagi dia tidak tidur, pengsan atau mabuk.

Tapi orang terlalu sibuk dunia tak ada masa untuk mendengar atau berfikir untuk agama. Orang yang ada fahaman salah, contohnya Islam itu pengganas, tak akan mahu mendengar dan memikirkan tentang Islam. Banyaklah fahaman salah dalam kehidupan manusia menghalang dari mendengar dan memikirkan. Orang yang ada sangka buruk, tak percayakan orang, tak akan mendengar dan memikirkan dari orang itu. Pelbagai sangkaan buruk manusia berlaku seperti, ada udang sebalik batu, nasihat disangka celaan, orang lebih disangka sombong, orang kurang disangka bodoh. Orang yg rasa dirinya lebih, tak berminat nak dengar dan memikirkan dari orang yang kurang. Yang banyak ceritanya kuranglah mendengarnya.

Selepas ketiadaan nabi dan rasul. Peringatan dan kefahaman Islam hanya datang dari manusia-manusia lain disekitar kehidupan. Jika sikap terbuka, mendengar dan memikirkan, tidak ujud, maka susahlah kefahaman Islam itu dicapai. Jika keterlaluan, boleh jadi dosa sampai ke neraka "sa'ir".

Comments