Siapa Tuhan Kamu
Siapa tuhan kamu?
من ربك
Salah satu soalan kepada ahli kubur. Soalan yang diketahui dari hadis nabi.
Tak ada orang mati yang hidup balik yg dapat beritahu pengalamannya. Akan tetapi menjawabnya bergantung kepada keadaan hidup seseorang. Cuba kita lihat beberapa keadaan dalam kehidupan.
Apa jawapan anda, ketika sedang menulis, pen anda dilarikan, kemudian seorang datang tanya, siapa tuhan kamu? Apakah anda ada angin untuk menjawabnya, atau anda lebih dahulu mahu bertanya tentang pen yg diambil tadi? Mungkin menimbulkan rasa marah.
Kemahuan untuk menjawab banyak bergantung dengan keadaan semasa anda dan keadaan orang yang bertanya. Dalam suasana kelas pembelajaran, guru lebih bersedia menjawab pertanyaan murid.
Dalam keadaan dramatik, traumatik, tragik tidak dapat dijangka. Contoh lebih teruk ialah jika anda sedang memandu, tiba-tiba ditahan, kemudian anda disuruh keluar dan kereta anda dilarikan. Anda ditinggalkan, orang disekeliling tak buat apa-apa untuk menolong. Beberapa ketika anda dibiarkan kemudian datang *sesuatu yang tidak dikenali*, encik, siapa tuhan kamu? Sedangkan anda masih terpinga-pinga, ditinggalkan, kenderaan diambil, tidak ada sesiapa menolong. Tentulah keadaan mungkin terkejut, mungkin takut, kemarahan pun tidak timbul, bukan pertolongan yang datang, fikiran sedang terganggu, soalan tidak kena tempat.
Nasib baik yang bertanya itu guna "encik", itu sudah berbentuk penghormatan. Jika yang bertanya itu budak kecil tentu tidak sama dengan orang dewasa. Pertanyaan dari orang berpakaian kemas dan berbau wangi tidak sama dengan yang lusuh dan hapak. Kalau yang datang itu tidak menyerupai manusia, makhluk asing? Apakah mudah untuk menjawab?
Demikian orang yang mati mengalami kiamat kecil, bukan pen yang kena ambil, bukan kereta, tidak ada ruang untuk marah, tetapi seluruh dunia diambil dari anda. Kemudian tidak ada sesiapa dikeliling anda boleh menolong. Bahkan anda ditinggalkan.
Tetapi kita berharap yang terbaik. Seorang yang beriman tentunya dalam keadaan demikian sebelum apa-apa berlalu (eja betul), tentu berharap, ya rabbi! Kita harap diberi ketenangan dalam keadaan demikian, keamanan.
Berita baik ialah, semua ini ada latihan. Iaitu dengan bersolat. Seorang bersolat melatihkan dirinya untuk seketika, berhenti dari aktivitinya, tinggalkan, lupakan segalanya-galanya dan tumpukan usaha, minda semata-mata untuk Allah.
Fussilat 41:49
لَّا يَسْـَٔمُ ٱلْإِنسَٰنُ مِن دُعَآءِ ٱلْخَيْرِ وَإِن مَّسَّهُ ٱلشَّرُّ فَيَـُٔوسٌ قَنُوطٌ
Manusia tidak jemu memohon kebaikan, dan jika ditimpa malapetaka, mereka berputus asa dan hilang harapannya.
Al-'Ankabut 29:5
مَن كَانَ يَرْجُوا۟ لِقَآءَ ٱللَّهِ فَإِنَّ أَجَلَ ٱللَّهِ لَءَاتٍۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang. Dan Dia Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui.
Bila orang kata tuhan kami ialah Allah dan beristiqamah:
Fussilat 41:30
إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَٰمُوا۟ تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَبْشِرُوا۟ بِٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) surga yang telah dijanjikan kepadamu.”
Istiqamah, bermakna mereka percaya dan pegang benar-benar seperti dikata, tuhan (rabb) kami adalah Allah, dalam semua keadaan, senang, susah, aman, takut, tidak terlupa kerana terkejut hingga masuk kubur pun tetap begitu.
Dari hadis (riwayat abu daud), tersebut dua malaikat datang untuk menyoal. Tiada penafian jika ada malaikat lain. Tapi jika lihat lain-lain hadis zaman nabi, ada malaikat lain lagi datang usung jenazah sampai terasa ringan atau orang syahid didatangi bidadari. Dan menurut ayat al-quran di atas, ada juga malaikat yang mengembirakan.
Kita tidak tahu bahasa apa yang digunakan malaikat, atau orang mati boleh faham bahasa arab, atau tak ada bahasa, cuma boleh faham. Tetapi soalan (من رَبُّك) "man rabbuka" tak sana dengan (من إلٰهُك) "man ilahuka" walaupun kedua-duanya adalah "siapa tuhan kamu" dalam terjemahan melayu.
Kadang-kadang, keadaan dan peristiwa boleh menyebabkan orang faham sesuatu yang sebelumnya tidak pernah difahaminya. Oo begitu. Walaupun jawapan sama, tetapi jalan fikir tidak sama. Boleh berlaku perkara yang belum pernah terfikir.
Pada kefahaman orang Melayu biasa, "siapa tuhan kamu" ialah (من إلهك). Kerana perkataan "ilah" merujuk kepada yang disembah. Itulah yang orang islam bersolat, zakat, puasa, haji, persembahan untuk dapat pahala. Tetapi bukan ini yang ditanya.
man rabbuka (من ربك) adalah merujuk kepada tuhan yang menjaga, memberi petunjuk, rezki, keamanan, kesihatan dan seumpamanya, iaitu kehidupan manusia itu sendiri.
Jadi yang ditanya ialah tentang apa yang kamu dapat dari Allah, bukan yang kamu buat untuk Allah. Tak sangka.
Salah satu erti Islam ialah menyerah atau tunduk, tiada masalah berserah kepada Allah, kerana ia percayakanNya yang menjaganya.
Tapi orang yang kurang baik kepercayaan (iman goyang), soalan begini menjadikan ia kelabu. Sebab, ada manusia yang merasakan dialah yang menjaga mengatur hidupnya sendiri. Bahkan dia juga menjaga orang-orang di bawah tanggungannya. Dialah yang bersusah payah. Dia tak nampak tuhan yang menjaganya.
Jadi yang senang hati dengan tuhan sebagai "rabb", mudah saja menerima apa saja petunjuk Nya, berharap dan mencari, dan begitu juga senang menerima takdir yg menimpanya.
Seolah-olahnya orang yang mula masuk alam barzakh ditanya siapa yang akan jaga kamu sekarang ini, siapa yg kamu ikut, ke mana nak pergi. Hampir-hampir dengan soalan imigresyen apabila memasuki negeri, siapa yg mengurus kamu, siapa perhubungan kamu dalam negeri ini, apa urusan atau ke mana nak pergi. Sebahagiannya sudah ada dalam paspot, tiadalah soalan lisan.
Dalam hadis riwayat Abu daud ada dua versi. Versi Jabir, soalannya tiga: siapa tuhan kamu? apa agama kamu? siapa nabi kamu?
Manakala versi Hannad ialah: Siapa tuhan kamu? Apa agama kamu? Siapa lelaki ini yang telah dibangkitkan dikalangan kamu? Apa yang menjadikan kamu kenal?
Ada 4 soalan pada versi Hannad.
Kita ulas soalan pertama saja. Cuma nak ingatkan bukan satu saja soalannya. Jawapan untuk yang keempat ialah: telah aku baca kitab Allah, percaya padanya dan membenarkannya.
Comments
Post a Comment