Apa Itu Rabb ??

Apa itu rabb?

Al-Fatihah 1:2
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ 
Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam

Inilah terjemahan yang biasa kita ketemui. Rabb (رَبّ)diterjemahkan sebagai Tuhan. Apakah "Rabb" dan "tuhan" itu sama erti?

Yang dimaksudkan rabb dalam ayat ini adalah Allah jelas dan terang. Yakni Allah itu rabb. Tetapi sebaliknya rabb belum tentu Allah.

Apabila ada dua perkataan yang berbeza tetapi merujuk kepada perkara yang sama apakah kedua-dua perkataan itu sama? Belum tentu. Contoh lain, cikgu dan manusia. Semua cikgu adalah manusia, tetapi tidak boleh dikatakan semua manusia adalah cikgu. Bagaimana jika kita terjemahkan kebahasa lain yg tidak mengenalinya. Apa kata bahasa kucing, banyaknya "meow-meow"!

Kita berkata, "cikgu mengajar di sekolah". Tetapi kita tidak katakan "manusia mengajar di sekolah". Anda fikirkan sendiri kenapa.

Tetapi terfikirkah kena dikatakan "ربّ العٰلمين" bukannya "إلٰه العٰلمين"? Kedua-duanya bila diterjemahkan menjadi "Tuhan sekelian alam". Hilanglah, perbezaan antara kedua-dua perkataan itu.

Dari segi kepercayaan, ilah (إله) ialah perkataan yang benar-benar bererti Tuhan, kerana itulah ucapan syahadah orang Islam. Tidak digunakan rabb. Kerana salah dari segi syara', salah dari segi bahasa, salah dari segi fakta. Maknanya tidak sama, samasekali.

Rabb juga digunakan untuk memberi maksud tuan atau penjaga.

Tetapi jika kita terjemahkan "ربّ العٰلمين" sebagai "tuan sekelian alam", ada pihak yg tidak bersetuju. Mereka rasakan itu merendahkan Tuhan maka tidak betul. Tetapi bukankah terjemahan itu menenggelamkan maksud tuhan sebagai tuan yang menjaga sekelian alam?

Seperti contoh cikgu, kita berkata: "cikgu mengajar di sekolah". Kita tidak merasakan lebih betul untuk mengatakan "manusia mengajar di sekolah", atas alasan "manusia" lebih menyeluruh dari "cikgu". Kita gunakan perkataan yang lebih kecil, lebih khusus untuk menampakkan ertinya. Demikianlah "tuan" adalah perkataan yang lebih "kecil" dari "Tuhan".

Dalam al-quran ada hampir seratus kali perkataan ilah, manakala hampir seribu perkataan rabb. Jika semuanya diterjemahkan sebagai Tuhan, maka hilanglah hampir seribu erti khusus rabb tersebut.

Jika al-rahman, al-rahim kita terjemahkan dengan perkataan berasingan walaupun semuanya merujuk kepada Allah, kenapa tidak boleh diterjemahkan rabb sebagai tuan?

Yang gunakan rabb dengan erti "tuan" tetapi bukan tuhan, boleh di temui dalam al-quran sendiri, dalam surah Yusuf. Sila rujuk.

Dalam surah Yusuf itu, Allah berfirman disebalik kata-kata nabi Yusuf menggunakan perkataan rabb yg maksudnya ialah raja pada zaman itu¹. Kalaulah, rabb hanya khusus bererti Tuhan, kenapa Allah sendiri gunakan?

Kenapa kita tekankan sangat erti rabb ini? Sebab kita hilang maksud hampir seribu perkataan ini dalam al-quran. Juga orang mati akan ditanya, siapa rabb kamu? Kita tidak mahu orang yg terkejut mati tiba-tiba baru faham erti rabb, tak sama dengan Tuhan. Walaupun jawapan tetap sama, jalan fikir yg berbeza boleh menjadikan orang teragak-agak.

Jadi apa istimewanya guna terjemahan tuan ini? Jawabnya hampir dua ribu. Seribu pembetulan, dan seribu lagi yang betul. Yakni anda boleh hayati hampir seribu tempat dalam al-quran, secara sedikit berbeza.

Benar, perkataan "tuan" lebih kecil dan halus. Tetapi ada juga disebut Tuhan maha halus. Tidak diketemui perkataan rabb dalam al-quran yg ada alif lam dihadapan. Tak ada "al-rabb". Tetapi perkataan rabb ada regunya. Paling kurang ialah "rabbi", terjemah "Tuhan ku".. Yakni regunya ialah aku, tuan kepada aku. Walaupun ejaannya hanya (ربّ). Ini cantik, tuan mesti ada apa yg ia tuan kepada. Ini adalah fakta yg perlu jelas bila sebut rabb. (ربّ العٰلمين) (ربّ العرش) dan bermacam-macam lagi. Seperti perkara halus, habuk boleh melekat kepada banyak benda. Kalau anda dihujani batu berbiji besar, tak akan melekat. Tetapi jika halus, molekul kecil, boleh basah kuyup.

Kita berharap dengan hampir seribu rabb dalam al-quran, ia boleh melekat, menyerap, membasahi ke dalam hati fikiran. Tidak hanya seperti sebahagian orang ingin basah di muka.

Jadi bila Allah, tidak menafikan manusia pun boleh jadi tuan. Maka ia boleh jadi unit persamaan yg lebih memudahkan manusia rasai kehebatan Allah. Saya mungkin tuan kereta, tapi bila rosak perlu cari tukang.

Apabila Allah gunakan perkataan rabb kepada raja Mesir di zaman nabi Yusuf. Kita boleh faham secara tidak langsung bahawa, tabiat atau semulajadinya, pemerintah adalah tuan yang menjaga negara yang ada dalamnya manusia yang menjadi rakyatnya, ini diiktiraf. Dan inilah juga janji-janji orang politik berikan kepada orang ramai untuk menyokongnya. Janji-janji yang berbentuk kebajikan, bantuan, manafaat, kemudahan. Tidak kira politik zaman lampau, raja-raja, atau zaman moden demokrasi atau tidak.

Kalau raja Mesir zaman nabi Yusuf, maka generasi kemudian sampai firaun, hingga dia mengaku,
فَقَالَ أَنَا۠ رَبُّكُمُ ٱلْأَعْلَىٰ 
(Seraya) berkata, “Akulah tuhanmu yang paling tinggi.” An-Nazi'at 79:24

Tetapi ini sudah melampau. Kerana yg tertinggi itu hanya Allah. Rabbul alamin itu hanya Allah. Batas pelampauan ini ada, kerana kepercayaan dan keimanan kepada Allah. Ertinya pemerintah yg tidak mempercayai tuhan tidak punyai batasan, hingga dia menyangka tanggung jawabnya macam tuhan. Hidup mati rakyatnya adalah jagaannya. Di mana batas-batas ini tidak semudah ditulis di sini. Ringkasnya hingga dia menyangka haknya melebihi hak manusia, padahal dia juga manusia. Maka hak manusia dilanggarnya. Tak ada kepujian dalam hal ini.

Kita sudahi
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ
1: Surah Yusuf, 41,42,50

Comments